Amalkan Qunut Nazilah, Lazimkan Boikot Barangan Yahudi

Berita tentang kekejaman Israel kepada rombongan Misi Bantuan kepada rakyat Palestin sudah tersebar dan seluruh dunia marah dan bersimpati kepada sukarelawan yang terlibat. Semoga Allah menguatkan tekad mereka, dan menghancurkan pakatan Israel laknatullah. TAHNIAH dan SYABAS kepada sukarelawan yang bangkit dan terus bersemangat walaupun menerima pelbagai dugaan. 

Namun, bagi seluruh rakyat Malaysia ayuh kita bangkit satukan hati, bulatkan tekad bersatu menentang kekejaman Israel. Demostrasi bergema di seluruh negara termasuk di universiti saya, pegawai dan pelajar mengedarkan risalah dan menyemarakkan api perjuangan Islam. Dalam Kuliah maghrib di putrajaya minggu lalu, saya sempat menceritakan sejarah kemurkaan Allah kepada kaum bani Israel dan mencadangkan beberapa tindakan yang harus kita lakukan sebagai Umat Islam prihatin. banyak perkara yang boleh kita lakukan namun saya ingin cadangkan 2 cadangan bersifat segera dan berterusan :

1. Lazimkan dan banyakkan membaca Qunut Nazilah - Para Ustaz dan Ustazah harus menerangkan dan mengajar masyarakat tentang Qunut ini. Qunut Nazilah maksudnya Qunut Musibah. Secara ringkasnya adalah doa ketika berlaku kesulitan kepada kaum muslimin seperti peperangan, kezaliman, kaum muslimin diserang dan dibunuh. Qunut Nazilah hukumnya adalah sunat dan dilakukan sesudah ruku'pada rakaat terakhir pada solat 5 waktu.

Imam Tarmizi berkata Ïmam ahmad bin hambal dan Ishaq bin Rahawaih telah berkata "tidak ada qunutdalam solat fajar (solat subuh) kecuali berlaku musibah yang menimpa kaum muslimin. Maka apabila terjadi sesuatu hendaklah Imam mendoakan kemenangan tentera kaum muslimin".

2.  Boikot barangan Yahudi - Kesan daripada boikot pada tahun 2002 Coca Cola mengalami kerugian sebanyak 60% dalam pasaran Asia selepas peristiwa kekejaman Isarel kepada Palestin. McD Donald juga mengalami kerugian dan menutup 172 restoran kerana kemerosotan kuasa beli pelanggan. Sedikit sebanyak kita boleh menyumbang kepada kemerosotan ekonomi Yahudi dan menaikkan ekonomi Umat Islam.

 Semoga Allah melindungi Umat Islam seluruh dunia.

Terakhir dikemaskini (Isnin, 07 Jun 2010 00:00)

 

Hobi Baru

Sudah lama tidak menulis di blog ini kerana leka dengan hobi baru. Apa hobi baru itu? Sekadar hobi suka-suka, memerhati keagungan ciptaan Allah.

Terakhir dikemaskini (Jumaat, 04 Jun 2010 09:04)

 

Ulama mengikut Tafsiran Quran dan Hadith

Rasulullah S.A.W bersabda “Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya.”(Hadis Riwayat Iman Khatib dari Jabir).

Secara asasnya, ulama’ merupakan golongan yang menguasai dan memahami secara terperinci ilmu-ilmu teras Islam serta memahami Islam sepertimana yang difahami oleh generasi para sahabat dan mereka juga mampu menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perkara agama. Definisi ini telah diberikan oleh Abdul Karim Khatib dalam kitabnya Tafsir Al qurani lil Quran.

Imam Muhammad bin Ahmad Qurtubi dalam tesisnya Jami’ Liahkam al Quran pula menyebut golongan ulama’ merupakan manusia yang takut kepada kudrat Allah. Al Quran secara tegas telah menjelaskan ketinggian martabat golongan para ulama antaranya perintah Allah supaya manusia memberikan ketaatan kepada mereka seperti termaktub di dalam surah an nisa’ yang bermaksud “Wahai orang yang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan orang-orang yang memerintahi urusan kamu (ulil amri).(surah an nisa’ ayat 59).

Ibnu Abbas dan Imam Ibnu Qayyim telah berpendapat bahawa maksud (ulil amri) pada ayat ini ialah ahli fiqah dan ahli agama (ulama’). Di dalam al-Quran istilah ulama secara jelas disebut pada dua tempat, iaitu : ”Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran.” (surah Asy-Syuara’ ayat 197)

Kedua, Firman Allah ”Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.” (surah Fathir ayat 28)

Imam Muhammad Ar Razi Fakhruddin dalam tafsirnya dalam mentafsirkan ayat 28 Surah Faathir menyebut bahawa sesungguhnya orang yang alim lebih tinggi darjatnya daripada ‘abid (ahli ibadah). Kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketaqwaannya kepada Allah, ketaqwaan itu pula datangnya melalui ilmu yang benar.

Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk di langit dan di bumi, malah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa memohon keampunan untuk orang lain. Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas ternyata bahawa seseorang ulama mempunyai penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam.

Mereka juga menjadi cermin dan pemimpin umat dalam menegakkan agama Allah,mereka tegas menegakkan yang hak dan menyanggah perkara yang batil yakni bertentangan dengan dasar agama.Kedudukan ahli ilmu adalah tinggi dan mulia disisi agama.

Maka dengan sebab itulah ulama disebut sebagai pewaris para nabi, malah Rasulullah menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya.”(Hadis Riwayat Iman Khatib dari Jabir).

Ulama adalah sumber rujukan umat dalam menetapkan sesuatu hukum. Tanpa ulama’ seluruh umat manusia akan menghadapi kesukaran apabila berhadapan dengan persoalan yang memerlukan penyelesaian hukum mengenainya. Selain itu, dalam aspek ini pengajaran dan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat oleh seorang alim ulama’ mencerminkan takwanya kepada Allah.

Dalam aspek ini, Said Hawwa dalam kitabnya ‘al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas’ud yang menyatakan bahawa ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang banyak ‘khasyyah’ (takut dan cinta yang tinggi) kepada Allah”.

Pada zaman keagungan Islam dahulu, peranan dan komitmen ulama sangat luas merangkumi berbagai aspek kehidupan. Selain mereka itu pakar dalam bidang akhlak, akidah dan syariah, mereka juga adalah cendikiawan dan ilmuan yang tiada tolok bandingnya seperti dalam bidang sains dan teknologi.

Persoalannya sekarang wujudkah apa yang disebut sebagai ulama jahat? Dalam hubungan ini, Rasulullah menyebut dalam beberapa hadisnya bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal-haram, mengetahui hak dan batil dan memahami al-Quran serta al-Hadis sanggup mencampur-adukkan perkara yang hak dan yang batil.

Inilah yang dikatakan ulama yang menyeleweng. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat, “apakah amal perbuatan yang paling utama?” Baginda menjawab, “Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan.” Sahabat berkenaan bertanya lagi, “Manusia yang bagaimana yang paling buruk?” baginda menjawab, “ulama yang selalu membuat kerosakan.” (Hadis Riwayat Jamaah).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Rosaknya agama disebabkan tiga perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad.” (Hadis Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).

Mohd Hariri Haji Mohamad Daud

10 Mei 2010

 

Terakhir dikemaskini (Isnin, 10 Mei 2010 08:39)

 

Asap Tebal di Iceland - Tanda Besar Pertama Kiamat ?

Rasulullah berkata :

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".
(H.R Muslim)

Tanda yg pertama: Dukhan (jerebu atau kabus tebal)

Semoga kita selamat dari azab hari kiamat dan terpelihara bersama orang-orang yang soleh.

Terakhir dikemaskini (Jumaat, 30 April 2010 14:51)

 

Hadith Pilihan : Stok Pahala itu Banyak

Adakah benar dakwaan susah nak cari pahala zaman sekarang ? Kalau nak cari dosa cukup senang sekarang, hujung jari dah dapat. Siapa kata susah nak cari sumber pahala, kita hayati hadith sahih dibawah ini. Selamat beramal ;-)

Hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Rasulullah berkata "Setiap Sendi tubuh badan manusia menjadi sedekah pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan kepada dua orang yang berselisih adalah sedekah, kamu membantu orang menaiki kenderaan atau membantu mengangkat barangnya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah berjalan menuju ke masjid adalah sedekah, kamu membuang perkara yang menyakitkan diatas jalan juga adalah sedekah"

Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu Anha Rasulullah S.A.W. berkata : Bahawasanya setiap insan daripada anak adam diciptakan daripada 360 sendi. Maka sesiapa yang bertakbir, memuji Allah, bertahlil, bertasbih, meminta ampun, membuang sebiji batu yang menganggu jalan awam, atau membuang duri atau tulang di jalan awam, atau menyuruh berbuat baik, mencegah yang mungkar sehingga mencukupi 360 kali, maka oarang itu telah menjauhkan dirinya daripada api nereka."

Banyaknya sumber pahala yang boleh dikutip tiap-tiap hari bermula terbit matahari hingga terbenam matahari. Jesteru, berlumba-lumbalah mencari pahala dan mengharapkan rahmat keredhoan Allah dalam pelbagai bentuk. Pengasihnya ALlah memberi sumber kebaikan kepada kita dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara.

JOM CARI PAHALA.....

Terakhir dikemaskini (Rabu, 21 April 2010 11:06)

 

Shooting Segmen Santapan Rohani Web Tv Universiti

 Alhamdulillah minggu lalu saya berkesempatan untuk pergambaran beberapa video tazkirah untuk siaran WebTV Universiti Sains Islam Malaysia iaitu USIMONLINE. USIM adalah satu-satunya universiti yang mempunyai WebTV tersendiri dan webtv ini juga dipaparkan di LCD TV setiap banggunan di dalam universiti. Seronok dan puas hati kerana dapat berbakti kepada universiti yang telah mendidik 4 tahun yang lalu.

Webtv ini dikendalikan oleh Unit Komunikasi Korporat USIM yang bertanggungjawab membina jenama universiti. Terima kasih Tuan Mohd Saiful (Pegwai Kanan) atas kepercayaan dan peluang.

Sebagai permulaan Webtv ini mengandungi beberapa segmen seperti tazkirah pagi santapan rohani,wawancara bersama pelajar dan pegawai dan himpunan video warga USIm di media massa. Setakat ini komitmen saya untuk 4 video tazkirah santapan rohani iaitu Kerja sebagai ibadah (Prof Dr Zulkiple Abd Ghani), Seronok dalam bekerja (Ust Hamadallah SAlleh), Integriti dalam pekerjaan (Dr Addnan Mad Junoh) dan Tips Peperiksaan (Pn Nurhazreen).

Dua lagi video dalam proses editing iaitu Ikhlas (Ust Mahyuddin Salleh) dan Budaya Membaca (Pn Norazah). Semoga beroleh manfaat dan ilmu daripada webtv ini. Layari www.usimonline.my

Terakhir dikemaskini (Isnin, 19 April 2010 08:18)

 

Mulakan Pagi Jumaat Anda dengan SURAH PILIHAN

 

 

Ikuti rancangan SURAH PILIHAN TV 1 minggu ini dan minggu-minggu seterusnya. Mulakan pagi anda dengan nur Al-Quran.

Rancangan : Surah Pilihan

Tarikh : 9 April 2010

Hari : Jumaat

Masa : 6.00 - 6.30 pagi

Tetamu : Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman (AQ 3)

Terakhir dikemaskini (Rabu, 07 April 2010 18:05)

 

Ceramah Kerjaya di FPI UKM

Minggu lalu saya sempat ke Fakulti Pengajian Islam, UKM untuk menghadiri bengkel kerjaya anjuran fakulti berkenaan. Terima kasih kepada Ustaz Nik atas jemputan. Saya diamanahkan untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Personaliti menuju gerbang kerjaya".

Selama 1 jam 30 minit beberapa perkongsian sempat saya kongsikan terutamanya apa yang perlu dibuat semasa di semester akhir di universiti. Ironinya, majoriti mahasiswa banyak menghabiskan masa untuk "berfoya-foya" menikmati masa-masa terakhir di universiti. Tidak kurang juga mereka yang berhempas pulas memperbaiki keputusan peperiksaan. Sepatutnya di semester akhir ada masa paling sibuk terutamanya untuk mempersiapkan diri menuju ke alam kerjaya atau dengan kata lain tidak menganggur.

 Apa yang saya berkongsi dengan mereka ialah tentang persiapan dan tindakan yang per dilakukan di tahun akhir :

1. Siapkan resume - pastikan resume sudah siap dan sebaik-baik dalam dua bahasa iaitu bahasa melayu dan bahasa inggeris. Resume mestilah ringkas, menarik dan menawan.

2.  Kenalpasti jawatan kosong - sudah mula menghantar resume ke syarikat mahupun organisasi yang membuka jawatan kosong. Maklumat ini boleh didapati di laman web organisasi atau mana-mana laman yang mengiklankan jawatan kosong.

3. Lebarkan "networking" - luaskan persahabatan, perkenalan dengan ramai orang agar mereka dapat membantu anda mendapatkan pekerjaan. Ada sesetengah jawatan hanya atas "recomendation" dan "internal selection", jesteru ini pentingnya rangkaian kenalan.

4. Persiapakan diri - pastikan sebelum anda melangkah keluar dari universiti, anda sudah tampil sebagai seorang graduan berketerampilan. Jangan kita menyesal apabila habis belajar, kita tidak ada sijil ko-kurikulum, tiada penglibatan dalam aktiviti persatuan, penguasaan bahasa, lemah komunikasi dan sebagainya.


 

Terakhir dikemaskini (Selasa, 06 April 2010 16:09)

 

Langgan info dari kami, masukkan email anda:

Servis oleh FeedBurner

Undian
1st Impression Anda?
 
ShoutMix chat widget
Google Friend Connect