Kes pembunuhan pelajar Sek. Men Bunut Susu, Kelantan adik Shahril Abdul Razak yang mati dibunuh ditemui setelah 18 hari misteri kehilangannya. Rentetan peristiwa hitam ini, Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) berasa sangat kesal dan mengutuk keras perbuatan jenayah ini.

Kes jenayah di kalangan pelajar seumpama ini sebenarnya bukanlah pertama kali berlaku dan seringkali kejadian salah laku pelajar dilaporkan di dalam media tempatan umpamanya kejadian pelajar membelasah pelajar sehingga menyebabkan kematian, isu samseng sekolah, kes buli dan sebagainya. Kejadian seumpama ini hanya berpunca dari sikap tidak puas hati serta perselisihan faham lalu diterjemahkan melalui pergaduhan dan diakhiri dengan insiden pembunuhan.

Tidak cukup berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah, para guru juga terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa ramai pelajar kini terpengaruh dengan kumpulan samseng atau gangster. Jiwa yang kosong, kehilangan pedoman bimbingan serta pengaruh rakan sebaya merupakan antara punca kebobrokkan sahsiah yang berlaku dewasa kini. Perlu disedari kejadian kes jenayah dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar umpama letupan sebuah bom jangka, sekiranya tidak diperangi, ia akan menghancurkan dan seterusnya menjadi penghalang kepada kemajuan negara di dalam mencapai aspirasi Wawasan 2020. Keseriusan kerajaan untuk memerangi kes gangsterisme di sekolah perlu disambut baik dan diaplikasikan oleh semua peringkat baik pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa, masyarakat dan juga mahasiswa.Menyedari mahasiswa mempunyai status sosial di dalam masyarakat, MPPKUIM menyeru seluruh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan persatuan pelajar di kampus seluruh negara berganding bahu dan bersatu hati menggiatkan usaha menghapuskan kes jenayah dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar sekolah.

Seluruh MPP dan persatuan pelajar di kampus perlu bertindak menjadikan agenda ini sebagai salah satu agenda aspirasi persatuan selaras dengan peranan mahasiswa yang tidak hanya terhad di dalam kampus semata bahkan turut dituntut untuk bertindak di pentas masyarakat terutamanya di dalam pembentukan modal insan di dalam arus pendidikan.

MPPKUIM menyarankan seluruh persatuan pelajar di kampus “turun padang” ke sekolah- sekolah menengah terutamanya dengan menganjurkan siri- siri program yang bermanfaat dalam penerapan budaya pendidikan dan penyayang kepada pelajar sekolah.

Program tradisi bakti siswa mesti diteruskan dan juga diaktifkan dengan menggunakan pelbagai bentuk pendekatan yang efisien dan efektif serta penganjuran beberapa siri program mentoring yang berterusan agar objektif dan matlamat untuk membentuk sebuah komuniti yang bebas daripada jenayah akan dapat dicapai.

Selain itu juga MPPKUIM mencadangkan juga agar setiap persatuan pelajar seluruh IPT mengambil sekolah angkat bagi persatuan mereka. Usaha murni seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan secara langsung antara mahasiswa dan pihak sekolah supaya proses untuk mendidik serta membimbing para pelajar ini dilakukan secara berterusan dan konsisten.

MPPKUIM yakin dan percaya ketokohan dan keterampilan akhlak mahasiswa yang pernah berada di institusi persekolahan dan telah berjaya mengorak langkah ke menara gading akan menjadi contoh yang baik dan ikutan teladan buat seluruh para pelajar khasnya.

Selain itu, MPPKUIM juga menyeru seluruh pentadbir sekolah dan pihak berwajib untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh sehingga ke akar umbi dalam usaha memerangi jenayah dan salah laku di kalangan pelajar. Pihak yang dibuktikan bersalah juga perlulah dihukum dengan hukuman yang setimpal oleh pihak berwajib sebagai teladan kepada masyarakat untuk tidak mengulangi lagi “kisah- kisah hitam” ini berlaku di dalam negara yang aman damai ini.

Selain itu juga hubungan erat diantara ibu bapa dan guru-guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah sentiasa bekerjasama berkongsi maklumat dan bersama-sama berbincang mencari jalan penyelesaian membangunkan sahsiah dan akademik anak-anak mereka. Perkara yang paling penting ialah kesedaran dari semua pihak bahawa pendidikan bukan sahaja tanggungjawab satu-satu pihak sahaja tetapi adalah amanah yang perlu digalas oleh semua pihak.

Justeru, MPPKUIM berpandangan semua pihak perlu melibatkan diri dan bertindak dengan pendekatan yang integratif dan holistik dalam usaha menjadikan sekolah sebagai zon selamat disamping sebuah gedung ilmu yang menjadi tapak semaian kelahiran Ibnu Sina dan al Khawarizmi alaf baru

Terakhir dikemaskini (Khamis, 02 Julai 2009 02:16)

 

Add comment


Security code
Refresh