Ceramah di Kolej MARA Banting
Jauh perjalanan, luas permandangan, tinggi pengalaman namun jangan lupa kuatkan iman di dada. Itu antara pesanan ringkas saya buat kira-kira 150 orang pelajar Kolej MARA Banting yang hadir dalam sesi ceramah saya. Alhamdulillah saya berpeluang bersama-sama pelajar-pelajar Kolej MARA Banting yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan dan kejuruteraan. Saya difahamkan pelajar-pelajar ini dalam proses pengajian persediaan sebelum berangkat ke luar negara meneruskan pengajian masing-masing. Saya diberi amanah untuk bercakap soal pembinaan sahsiah seorang muslim.
Saya berkongsi banyak dengan mereka tentang akhlak, ilmu, amanah dan perkara utama soal niat. Peripentingnya niat dalam setiap apa yang kita lakukan. Ketika zaman Rasulullah terjadi satu kisah bagaimana ada dari kalangan pemuda Islam yang pergi berjihad dengan niat untuk dunia atau wanita. Mereka akan dapat habuan itu, namun tiada pahala dan faedah disisi Allah.
Begitu juga dengan belajar, perlukan niat yang betul. Jika niat kerana ilmu, akan dapat ilmu. Jika niat untuk pergi bersiar-siar, maka dapat bersiar-siar dan begitulah selainnya.
Rasulullah pernah berpesan, “Sesungguhnya sesuatu amal itu dengan apa yang diniatkan, barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan Rasul, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul, barangsiapa yang berhijrah untuk mendapatkan habuan dunia atau wanita yang hendak dikahwini, maka hijrahnya untuk apa yang diniatkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sedikit foto yang diambil dari pentas penceramah.



Terakhir dikemaskini (Isnin, 02 November 2009 08:44)















